PENTAKSIRAN TINGKATAN 3_2014

FORMAT PENTAKSIRAN TINGKATAN 3


Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai tahun ini sebagai langkah penambahbaikan yang dilakukan terhadap Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). 

"PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk sekolah menengah teknik (SMT) dan kolej vokasional.

"Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka," katanya dalam sidang akhbar bagi mengumumkan penambahbaikan PBS di Bangunan Parlimen hari ini.

Muhyiddin menambah, PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis serta ujian lisan.

Menurut beliau, mata pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup dan bahasa-bahasa lain seperti Arab, Cina, Tamil, Iban dan Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja.

"Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, ujian amali, projek, kajian lapangan atau kajian kes," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen serta panduan peraturan penskoran setara yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).

"LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum laporan dikeluarkan," jelasnya.

Muhyiddin memberitahu, pihak sekolah seterusnya akan mengeluarkan slip keputusan PT3 bagi setiap pelajar dan tidak mengeluarkan sijil seperti yang dilaksanakan menerusi PMR sebelum ini.

Sumber: Utusan Melayu